Diskaun TNB sepanjang PKP 3.0

PUTRAJAYA 29 Jun – Seramai 2.9 juta pengguna elektrik domestik di semenanjung Malaysia yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200 Kilowatt jam (kWJ), bakal menikmati diskaun 40 peratus.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata seramai 1.4 juta pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan antara 201kWj hingga 300kWj pula akan mendapat diskaun 15 peratus.

Selain itu, seramai 2.4 juta pengguna domestik dengan penggunaan elektrik antara 301kWj hingga 600kWj akan menerima diskaun 10 peratus.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, bagi pengguna bukan domestik di semenanjung, kerajaan bersetuju memberikan diskaun lima peratus kepada pengguna bawah kategori tarif komersial, industri dan pertanian di bawah voltan rendah.

Shamsul Anuar berkata, pengguna elektrik dalam enam sektor perniagaan terpilih bawah inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) pula akan terus menerima diskaun 10 peratus dalam tempoh sama.

Katanya, diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna elektrik di semenanjung itu akan dibiayai secara bersama oleh kerajaan sebanyak RM413 juta dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan peruntukan RM50 juta.

Bagi pengguna elektrik di Sabah pula, pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200kWj dan ke bawah akan menerima diskaun 40 peratus;  201kWj hingga 300kWj diskaun 15 peratus;  301kWj hingga 500kWj  diskaun 10 peratus; 501kWj hingga 1000kWj diskaun lima peratus.

Bagi pengguna bukan domestik di Sabah, pengguna kategori komersial, industri dan pertanian bervoltan rendah akan menikmati diskaun bil elektrik lima peratus.

Jumlah keseluruhan kos pemberian rebat di semenanjung dan diskaun elektrik di semenanjung dan Sabah ialah RM980 juta iaitu RM930 juta yang dibiayai oleh kerajaan manakala TNB, RM50 juta.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,  tiada pemotongan bekalan elektrik kepada semua pengguna dan penangguhan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil tidak melebihi enam bulan sehingga 30 September 2021.

Pelan Bayaran Mudah untuk pengguna domestik juga ditawarkan sehingga 31 Disember.

Related posts

Leave a Comment