Bubar 3 DUN : Pas putuskan esok

SEPANG 12 Okt. – Tanda tanya berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasai Pas iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu, dijangka dimuktamadkan esok.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pimpinan Pas Pusat dijangka membuat pengumuman perkara itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Penuh Pas Pusat di Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata dakwaan mengatakan Pas bersetuju untuk membubarkan DUN menerusi mesyuarat yang diadakan semalam adalah tidak benar.

“Tidak benar (pembubaran DUN di tiga negeri). Parti akan membuat keputusan berhubung perkara itu dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu , Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu enggan mengulas lanjut isu itu kerana tidak mahu mendahului parti.

Saya tak boleh bagi ‘hint’ (petunjuk) nanti saya mendahului mesyuarat pula, jadi biar lepas mesyuarat esok sebab saya percaya mesti ada kenyataan di pejabat Pas.

“Ia hanya ‘endorsement’ pada perbincangan semalam dan insya-Allah, tidak ada perbincangan baharu lagi selepas ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, Pas Pusat juga akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dengan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, ia membabitkan perbincangan berkaitan pilihan raya termasuk soal pembahagian kerusi di antara parti komponen di dalam PN.

Related posts

Leave a Comment