Dos ke-3 hasil tindak balas imun kuat.

LONDON: Kajian Universiti Oxford mendapati dos ketiga vaksin Covid-19 Oxford-AstraZeneca menghasilkan tindak balas imun yang kuat.

Menurut kajian itu, suntikan ketiga meningkatkan tindak balas imun antibodi dan sel-T, sementara dos kedua yang ditangguhkan hingga 45 minggu juga meningkatkan tindak balas imun.

Bagaimanapun belum ada bukti bahawa suntikan tambahan diperlukan terutama ketika kekurangan bekalan vaksin di beberapa negara.

Pengarah Kumpulan Vaksin Oxford, Andrew Pollard berkata, bukti menunjukkan vaksin sedia ada melindungi daripada varian semasa untuk jangka masa panjang, di mana suntikan tambahan kemungkinan tidak diperlukan.

Kajian sebelum ini menunjukkan, vaksin yang dicipta Universiti Oxford dan dilesenkan ke AstraZeneca mempunyai keberkesanan lebih tinggi apabila dos kedua ditunda sehingga 12 minggu, dan bukannya empat minggu.

Penyelidikan pada Isnin dilancarkan dalam pra-cetak dan melihat 30 peserta yang menerima dos kedua lewat dan 90 peserta yang menerima dos ketiga, kesemuanya berusia di bawah 55 tahun.

Ini membantu mengurangkan kebimbangan bahawa vaksin Covid-19 vektor virus itu, seperti dibangunkan AstraZeneca dan Johnson & Johnson mungkin hilang potensi jika inokulasi tahunan diperlukan kerana risiko badan menghasilkan tindak balas imun terhadap vektor untuk menyampaikan maklumat genetik vaksin.

Related posts

Leave a Comment