Lebih 7 juta dos disuntik

PUTRAJAYA 26 Jun – Setakat semalam, sebanyak 7,039,072 dos vaksin Covid-19 telah diberikan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kata Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Katanya, sebanyak 215,968 dos diberikan di semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara semalam.

“Jumlah penerima dos pertama mencecah 5,072,714 orang atau 15.5 peratus daripada populasi negara, manakala 1,966,358 individu atau enam peratus sudah menerima dos kedua,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Jumlah itu juga menyaksikan kapasiti harian pemberian vaksin di seluruh negara kekal mencatat lebih 200,000 untuk lima hari berturut-turut, yang membantu memastikan peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara dapat dipercepatkan.

Kadar pemberian vaksin harian tertinggi dicatatkan semalam adalah 268,604 dos, dengan Malaysia mula melepasi 250,000 buat kali pertama pada Selasa lalu dengan 250,529 dos, disusuli 252,773 pada Rabu dan 268,604 dos semalam.

Sementara itu, data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menunjukkan, Kuala Lumpur kekal penerima tertinggi dos pertama vaksin iaitu 884,781 individu, 50 peratus daripada keseluruhan penduduk Kuala Lumpur .

Ini diikuti Putrajaya (36,279), Sarawak (878,626), Labuan (30,193) dan Perlis (63,504).

Penduduk Putrajaya pula adalah penerima tertinggi dos kedua disusuli Labuan 14,722, Perlis 36,866 dan Kuala Lumpur 170,594.

Related posts

Leave a Comment