3,455 kes, 21 kematian tertinggi

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Jumlah kes harian turun ke pangkal angka 3 tetapi jumlah kematian akibat Covid-19 yang direkodkan adalah tertinggi iaitu  21 kes menjadikan jumlah kumulatif korban kini sebanyak 791 kes.

Kes kematian hari ini melibatkan 12 kes di Selangor, empat  di Sabah, masing-masing dua  di Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu di Kedah. Sebanyak 20 kes kematian pada hari ini melibatkan warganegara dan satu  bukan warganegara.

Kes jangkitan harian pula 3,455 yang menunjukkan penurunan berbanding 4,214 semalam dan 5,298 pada 31 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak lima kes import dilaporkan yang menerima jangkitan daripada luar negara manakala selebihnya merupakan penularan tempatan.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini sebanyak 47,847 kes dengan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 222,628 kes.

Katanya, 77 kes (2.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Taiping (21 kes), Kluster Tembok Renggam (17 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (15 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (10 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (9 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), dan Kluster Tembok Mempaga (2 kes).

Sehingga kini juga, sebanyak 327 pesakit sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 145 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam masa sama, jumlah pesakit yang sembuh terus mencatatkan peningkatan sebanyak 3,661 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 173,990 kes.

Related posts

Leave a Comment