Hotel Orchard didenda, operasi digantung

SINGAPURA 25 Jun – Sebuah hotel di Jalan Orchard di sini didenda $1,000 serta diarah menggantung operasi selama 30 hari selepas pihak berkuasa mendapati ia membenarkan 11 orang berkumpul dalam sebuah bilik bagi menyambut hari lahir.

Penggantungan itu yang berkuatkuasa mulai hari ini dikeluarkan oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) selepas para pegawainya menemui 11 individu berkenaan meraikan majlis hari jadi pada 6 Februari lalu.

Bagaimanapun, menurut kenyataan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), hotel berkenaan boleh memenuhi tempahan yang sudah dibuat sebelum arahan penggantungan itu dikeluarkan.

Ketika kesalahan itu dilakukan, peraturan-peraturan pengurusan selamat Covid-19 hanya membenarkan orang ramai berkumpul dalam kumpulan sehingga lapan orang sahaja.

Sementara itu, 117 orang didenda kerana melanggar peraturan-peraturan Covid-19 di taman-taman dan pantai-pantai awam sejak tempoh Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) bermula 21 Jun lalu.

Kesalahan-kesalahan yang dilakukan termasuk tidak memakai pelitup muka ketika dalam keadaan tidak bersenam dan berkumpul melebihi lima orang.

Related posts

Leave a Comment