Bucu lima bukan baharu

BINTANG berbucu lima rupa-rupanya bukan sesuatu yang baharu. Tanpa disedari atau tidak dipedulikan sebelum ini, bintang bucu lima bukan sekali terpampang sebaliknya sudah berkali-kali. Selak-Selak percaya ramai yang menerima beberapa WhatsApp yang menunjukkan bintang bucu lima yang dikaitkan dengan Jalur Gemilang sudah lama berlaku. Kenapa hari ini baru tersedar?

Memang bintang bucu lima terdapat di bendera Selangor, Melaka, Johor dan Terengganu tetapi itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ia adalah berkaitan dengan negeri-negeri berkenaan, tiada kaitan dengan mana-mana pertubuhan. Bagaimanapun ia akan menjadi janggal jika bucu bintang pada bendera negeri-negeri itu ditukar, sama seperti yang berlaku pada Jalur Gemilang baru-baru ini.

Isu sekarang adalah kerana paparan yang jelas mengenai Jalur Gemilang bukan sebagai logo atau lambang persatuan atau kejohanan. Andai mahu dijadikan logo atau apa sahaja janganlah rupa bentuknya atau warnanya ‘sebijik’ menyamai Jalur Gemilang. Apabila rupa bentuk atau warna yang lainnya sama dengan yang asli tetapi tiba-tiba bucu bintangnya berbeza maka ada yang tidak kena.

Entah siapa harus dipersalahkan dalam isu ini. Adakah pihak penganjur yang mengadakan acara-acara berkenaan? Adakah pihak berkuasa tempatan (PBT) juga harus bertanggungjawab ketika meluluskan sebarang paparan logo, sepanduk atau bunting sesuatu acara?

Berdasarkan WhatsApp yang diterima, ternyata isu bucu lima ini bukanlah sesuatu yang baharu. Cuma bezanya yang terkini berlaku satu paparan yang secara tiba-tiba muncul dan tular. Lihatlah saja acara sebelum ini yang menampakkan Jalur Gemilang mempunyai bintang bucu lima. Diharapkan gambar-gambar berkenaan bukan diedit dan niat penganjur memang merujuk Jalur Gemilang.

Andai ia bukan bermaksud menghina Jalur Gemilang, eloklah pihak-pihak berkenaan tampil menjelaskan perkara sebenar supaya isu ini tidak berlarutan. Semoga tidak ada lagi kejadian atau kesilapan seumpama ini. Belajarlah menghormati Jalur Gemilang!

Related posts

Leave a Comment