Iran percepat vaksinasi

TEHRAN – Iran akan mempercepatkan proses vaksinasi bagi membolehkan republik itu menghidupkan semula ekonomi di tengah-tengah pandemik Covid-19, kata Presiden baharu Iran, Ebrahim Raisi.

Menurut Ebrahim, program vaksinasi antara tumpuan utama di bawah pentadbirannya dengan menumpukan kepada vaksin yang dihasilkan di dalam negara, selain Sputnik V keluaran Rusia dan yang dibangunkan dengan kerjasama Cuba.

Kerajaan pimpinan presiden sebelum ini Hassan Rouhani berdepan kritikan kerana program vaksinasi yang perlahan.

Kekangan itu disebabkan sekatan Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan kesukaran Iran membeli vaksin dan punca berlakunya kelewatan dalam penghantaran bekalan.

Iran melancarkan vaksin Coviran Barekat, kerjasama dengan Cuba Disember lalu dan kini sudah memasuki fasa ujian klinikal bersama tiga lagi vaksin lain iaitu Razi Cov Pars, Fakhra dan Osvid-19.

Sejumah 24,000 orang kini menjalani ujian klinikal bagi vaksin Coviran.

Setakat ini lebih 83,217 daripada 83 juta populasinya meninggal dunia akibat Covid-19.

Related posts

Leave a Comment