Cari asal usul Covid-19

PEMIMPIN tertinggi negara-negara dalam kumpulan G7 menggesa diadakan kajian bagi mengenal pasti punca atau asal usul Covid-19, termasuk di China.

Gesaan itu dinyatakan dalam ucapan penggulungan sidang itu yang diadakan di Cornwall, United Kingdom.

Para pemimpin G7 dalam kenyataan akhir pada masa yang sama turut bersetuju untuk bersama menghentikan pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku di China.

Sesi perbincangan yang diadakan secara tertutup pada sidang itu turut memetik Rusia tidak bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah yang berlaku di negara itu sehingga boleh mengakibatkan kerosakan sistem kritikal dunia.

Ujar mereka, setiap negara harus memberi penekanan untuk mengawal aktiviti jenayah yang berlaku dalam lingkungan negara mereka.

Menerusi persidangan yang sama, Canselor Jerman, Angela Merkel antara lain turut menyentuh berkenaan pentingnya semangat baharu dalam kumpulan negara G7 dalam menyelesaikan masalah dunia ketika ini

Beliau turut berharap kumpulan negara G7 memberikan mesej yang kuat untuk nilai-nilai multi-lateralisme.

Antara isu lain yang menjadi tumpuan dalam sidang G7 termasuk keutamaan mengisi dana tahunan $100 bilion yang bertujuan membantu negara-negara miskin menangani kesan pemanasan global.

Persidangan tiga hari itu berlangsung di sebuah resort di Carbis Bay, Cornwall.

Sidang kemuncak G7 kali terakhir diadakan di Perancis dua tahun lalu.

Pemimpin G7 yang terlibat dalam persidangan ini termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Perancis, Itali, Jepun dan Kanada.

Related posts

Leave a Comment