Terendah di India dalam 2 bulan

NEW DELHI 6 Jun – India melaporkan 114,460 kes baharu Covid-19 hari ini, jumlah terendah dalam tempoh dua bulan, manakala angka korban akibat pandemik itu melonjak sebanyak 2,677.

Setakat ini, India mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang kedua tertinggi di dunia di belakang Amerika Syarikat dengan sebanyak 28.8 juta kes secara keseluruhannya serta 346,759 kematian.

Gelombang kedua koronavirus yang melanda sebahagian besar kawasan pedalaman di negara itu belum lagi reda namun New Delhi dan bandar-bandar lain sedang berusaha untuk membenarkan lebih banyak perniagaan menjalankan operasi di samping melonggarkan sekatan pergerakan mulai Isnin (7 Jun).

Wilayah barat India, Maharashtra, yang merupakan wilayah terkaya di India dan mencatatkan jumlah kes tertinggi semasa gelombang kedua, merancang untuk mula melonggarkan secara bertahap sekatan ketat yang dilaksanakan pada April lalu.

Para saintis memberi amaran gelombang ketiga jangkitan akan melanda India pada lewat tahun ini, yang dijangka lebih menjejas kanak-kanak.

Walaupun negara itu sudah mempertingkatkan program vaksinasinya sejak masa beberapa minggu lalu setelah dijalankan program tersebut dengan perlahan, sebilangan besar daripada 1.3 bilion penduduk dijangka belum lagi divaksin apabila gelombang ketiga melanda kelak.

Related posts

Leave a Comment