Amanah tangguh pemilihan hadapi PRU, PRN

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Parti Amanah Negara (Amanah) menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan tahun ini selepas mengambil kira Pilihan Raya Umum (PRU)  ke-16 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) terutama di Melaka, Johor dan Sarawak.

Setiausaha Agung Muhammad Faiz Fadzil berkata, keputusan ini diputuskan mengikut Perkara 19.2 (j) Perlembagaan Amanah yang memberikan kuasa berkaitan penangguhan pemilihan untuk tempoh selama 18 bulan.

“Pemilihan parti akan diadakan sebaik sahaja urusan PRU dan PRN selesai tanpa menunggu tempoh penuh penangguhan 18 bulan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Jawatan Kuasa Pimpinan (JKP) Nasional Amanah.

JKP Nasional juga mengarahkan Amanah di peringkat Negeri dan Kawasan untuk segera menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing, bagi mengukuhkan kesiapsiagaan parti berhadapan PRU dan PRN.

Katanya, temu rapat pimpinan utama Amanah dengan jentera di peringkat akar umbi akan diadakan mengikut zon yang akan ditetapkan tarikhnya kelak bermula di Melaka dan Johor.

“Amanah sebagai salah satu komponen gabungan Kerajaan Perpaduan akan mengambil tanggungjawab memartabatkan kedudukan orang Melayu melalui polisi-polisi yang mampu mengangkat sosio-ekonomi orang Melayu.

Memandu perubahan pemikiran orang Melayu untuk menolak sentimen Melayu terpinggir dan Islam terancam yang dimainkan pihak pembangkang serta membawa naratif pemikiran baharu yang lebih rasional, progresif dan sederhana,” katanya.

Justeru, JKP Nasional bersetuju supaya Amanah memainkan peranan lebih aktif dalam membawa perubahan ini.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment