Vaksin ke-8 dapat kelulusan WHO

GENEVA 2 Jun – Vaksin kelapan, CoronaVac keluaran syarikat China, Sinovac  diluluskan penggunaannya untuk tujuan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia adalah vaksin kedua keluaran China yang mendapat lampu hijau dari WHO selepas Sinopharm.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan, ini juga akan membuka jalan bagi Sinopharm digunakan dalam inisiatif Covax, sekali gus menjamin akses sama rata kepada vaksin.

“Saya mahu mengumumkan Sinovac-Coronavac sudah mendapat kelulusan WHO untuk penggunaan kecemasan, selepas didapati selamat, berkesan dan berkualiti.

“Tambahan pula keperluan penyimpanannya adalah lebih mudah. Dengan ini sejumlah lapan vaksin sudah menerima kelulusan kecemasan dari WHO,” katanya di sini semalam.

Vaksin Sinovac sudah digunakan di beberapa negara.

Ia disarankan untuk mereka berusia lebih 18 tahun, dengan dua dos dan jarak masa empat minggu.

Kelulusan kecemasan bermakna vaksin Sinovac memenuhi standard antarabangsa bagi keselamatan, dan pembuatan.

Buat masa ini, ia digunakan di Chile, Brazil, Indonesia, Mexico, Thailand dan Turki.

Setakat Mei, Sinovac sudah membekalkan 600 juta dos bagi pasaran domestik dan antarabangsa.

Salah satu kelebihan Sinovac adalah ia boleh disimpan pada suhu biasa iaitu 2 hingga 8 darjah Celsius.

Ini akan menjadi satu kelebihan buat negara-negara yang kekurangan kemudahan penyimpanan suhu rendah.

Related posts

Leave a Comment