7 lagi kes varian membimbangkan

PUTRAJAYA 17 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tujuh lagi kes Variant of Concern (VOC) atau varian yang membimbangkan melalui survelan genomik oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas 10 sampel Covid-19 dari 10 Mei hingga 14 Mei 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes tempatan yang dijangkiti varian Afrika Selatan B.1.351 telah dikesan di Kuala Lumpur dan tiga kes bukan warganegara dijangkiti varian India B.1.617 (sublineage B.1.617.2).

Sebanyak tiga kes baharu melibatkan bukan warganegara dengan varian India B.1.617.2 dikesan di Malaysia.

Dua kes telah dikesan melalui saringan Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan satu kes dikesan melalui saringan bergejala.

Kesemua kes mempunyai sejarah perjalanan ke India dan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) yang telah dikesan di negara adalah sebanyak lima kes.

Kerajaan juga telah melanjutkan tempoh kuarantin wajib selama 14 hari kepada pengembara dari negara-negara dengan penularan VOC dalam komuniti sejak 28 April 2021 dan mengadakan sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari negara India sejak 7 Mei 2021 berikutan penularan varian VOC yang semakin membimbangkan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia akan meneruskan pemantapan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk survelan epidemik, ujian saringan Covid-19 yang strategik, melakukan pengesanan kontak dan melakukan langkah-langkah kesihatan awam bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti.

“Orang ramai dinasihatkan agar terus berwaspada dan sentiasa mengamalkan nasihat-nasihat yang sering ditekankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya lagi.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dijangkiti oleh varian Afrika Selatan B.1.351 adalah sebanyak 66 kes dan varian India B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) adalah lima kes.

Related posts

Leave a Comment