Kes meningkat, PKP penuh di Selangor?

PUTRAJAYA 17 Mei – Selangor terus mencatatkan kes jangkitan harian tertinggi hari ini ketika Kementerian Kesihatan turut mencadangkan langkah lebih ketat Prosedur Operasi Standard (SOP) seterusnya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya di negeri itu.

Hari ini, Selangor mencatatkan 1,650 kes berbanding  1,275 yang direkodkan semalam.

Ini diikuti Sarawak (433 kes), Johor; 391 kes, Kelantan ; 343 kes dan Kuala Lumpur; 297 kes.

Sementara itu Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba berkata, KKM akan mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan PKP sepenuhnya di Selangor jika kerajaan negeri tidak mampu mengekang pandemik itu.

Katanya, pelaksanaan PKP seluruh negara ketika ini telah membenarkan KKM mengadakan lebih banyak ujian saringan dan pengasingan serta rawatan kepada kes positif di Selangor.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri Selangor juga telah bekerjasama melaksanakan ujian saringan RTK-Antigen di kawasan yang mempunyai kaitan epidemiologi tinggi.

“Ia juga membenarkan kita melaksanakan pengesanan kontak lebih cepat dan membenarkan kita melakukan keseluruhan pencegahan serta kawalan di bawah kaedah kesihatan awam.

“Saya setuju bahawa kita perlu mencadangkan kepada kerajaan supaya SOP lebih ketat dilaksanakan.

“Sekiranya terdapat ketidakupayaan mengekang, maka cadangan kita untuk laksanakan PKP penuh boleh dipertimbangkan,” katanya pada sidang akhbar mingguan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara maya, hari ini.

Related posts

Leave a Comment