Penerima vaksin positif

SINGAPURA 24 April – Sudah menerima dua dos suntikan vaksin tetapi seorang lelaki penduduk tetap Singapura (PR) berusia 45 tahun masih didapati positif Covid-19.

Eksekutif kanan di sebuah syarikat perkapalan itu menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 26 Februari dan dos kedua pada 19 Mac.

Kedua-dua ibu bapanya tiba dari India pada 15 April. Bapa lelaki itu diuji positif bagi CAovid-19 menerusi ujian swab pada ketibaan dan dimasukkan ke hospital.

Ibunya pula diletakkan di bawah kuarantin dari 16 hingga 30 April di sebuah kemudahan kuarantin kerana dikenal pasti sebagai kontak rapat dalam penerbangan kepada dua lagi kes Covid-19.

Anak lelakinya pula, membuat permohonan untuk menjaga ibunya di kemudahan kuarantin berkenaan dan berpindah ke bilik yang sama dengannya pada 16 April.

Pada 23 April, dia mengalami selesema dan mempunyai simptom tersebut. Dia kemudian dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit pada keesokan harinya dan disahkan dijangkiti Covid-19.

Empat lagi kes jangkitan dalam masyarakat yang dilaporkan pada Sabtu melibatkan anak kapal yang bekerja di atas sebuah kapal tangki penyimpanan minyak.

Mereka diuji bagi Covid-19 pada 22 April ketika menjalani kuarantin dan keputusan ujian mereka adalah positif.Dua daripada empat kes berkenaan sudah menerima dos pertama vaksin – salah seorang mendapat dos itu pada 7 April manakala seorang lagi menerimanya pada 15 April.

Sementara itu, 18 kes import adalah ketibaan dari Myanmar, Filipina, Bangladesh, India, Croatia, Jerman, Indonesia dan Romania.

Jumlah kes keseluruhan di Singapura kini adalah 60,966 dan hari ini 16 lagi dibenarkan pulang daripada hospital.

Secara keseluruhan, 60,629 sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan pulang, 88 kes  masih dirawat di hospital.

Related posts

Leave a Comment