Kemboja tutup pasar dua minggu

PHNOM PENH 24 April – Kemboja menutup semua pasar di ibu kota Phnom Penh selama dua minggu mulai hari ini, Sabtu (24 April) bagi membendung lonjakan jangkitan Covid-19.

Perintah berkurung dilaksanakan di Phnom Penh pada 15 April dan ibu negara itu juga mengisytiharkan beberapa daerah sebagai ‘zon merah’ dengan larangan keluar rumah dilaksanakan kecuali bagi alasan perubatan.

Dalam satu perintah yang dikeluarkan pada lewat Jumaat, Dewan Bandaraya Phnom Penh menyatakan kesemua pasar akan ditutup hingga 7 Mei, sambil menyatakan mereka melihat jumlah kes jangkitan yang meningkat di pasar dan menggesa para pegerai dan pengawal keselamatan supaya menjalani ujian Covid-19.

Kemboja, salah satu negara Asia Tenggara yang merekodkan jumlah kes Covid-19 terendah di dunia. Bagaimanapun penularan yang bermula lewat Februari menyebabkan jumlah kes terkumpul melonjak kepada 8,848 dan 61 kematian dilaporkan.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyediakan bekalan makanan kepada para penduduk yang tidak dapat keluar rumah di kawasan yang dikenakan perintah berkurung, para pegawai bandar mengagihkan barangan keperluan dapur seperti beras seberat 25 kilogram, sekotak sos tiram, satu beg berisi sos ikan dan satu beg berisi ikan dalam tin kepada para penduduk.

Pihak pemerintah juga menubuhkan satu kumpulan di Telegram bagi para penduduk memohon bantuan makanan kecemasan daripada pihak berkuasa.

Related posts

Leave a Comment