SHAH ALAM 30 Sept. – Pengalaman menangani pandemik Covid-19 dan beberapa penyakit lain meletakkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan, berhubung kewujudan penyakit X di negara ini.
Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni berkata, selain Covid-19, Malaysia juga berpengalaman menangani penyakit seperti virus nipah, sindrom pernafasan akut teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV).
Katanya, KKM akan sentiasa membuat pemantauan berhubung sebarang perkembangan penyakit itu di dalam dan luar negara serta memperkukuhkan sistem kesihatan negara untuk menghadapi kemungkinan bakal berlaku.
“Saya berharap rakyat tidak bimbang dan maklumat mengenai sebarang penyebaran penyakit atau virus akan terus diuar-uarkan kepada umum,” katanya selepas program ‘Lotus’s Ceria Charity Run’ di Setia Alam bersempena Bulan Malaysia Sihat Sejahtera, hari ini.
Lebih 3,000 peserta menyertai Lotus’s Ceria Charity Run yang pertama anjuran Lotuss Store (Malaysia) Sdn Bhd dengan kerjasama KKM dan berjaya mengumpul RM100,000 bagi sekolah angkat Lotus’s.
Sementara itu Lukanisman berkata, kempen Bulan Malaysia Sihat Sejahtera yang dilaksanakan pada September setiap tahun menjadi antara inisiatif KKM mempromosikan gaya hidup sihat kepada masyarakat.
Katanya p, penganjuran kempen itu juga bertujuan mengukuhkan jalinan kerjasama antara rakan strategik khususnya membabitkan pihak swasta dan ia seiring dengan satu daripada strategi dalam Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan di Parlimen Jun lalu.
