Perintah berkurung di Turki

TURKI mengumumkan langkah lebih ketat termasuk perintah berkurung mulai 9 malam hingga 5 pagi bagi mengekang koronavirus Covid-19 susulan peningkatan kes jangkitan di bandar berisiko tinggi di seluruh negara.

Presiden Recep Tayyip Erdogan pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet pada  Isnin, berkata perintah berkurung juga akan dikenakan pada hujung minggu pada bulan Ramadan.

Majlis iftar dan sahur juga dilarang sepanjang Ramadan ini.

Bagi bandar berisiko tinggi, akan dikenakan perintah berkurung sepenuhnya.

Menurut Erdogan, 80 peratus daripada hampir 84 juta penduduk negara itu tinggal di bandar-bandar berisiko tinggi.

Sementara itu, restoran hanya akan dibenarkan beroperasi untuk mengambil pesanan makanan untuk penghantaran dan dibawa pulang.

Menurut data Kementerian Kesihatan, Turki merekodkan 32,404 kes harian baharu pada Isnin, kes tertinggi bagi tahun ini dengan jumlah kumulatif kes jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 3,240,577 sementara kes kematian harian terkini 154.

Istanbul, bandar terbesar di Turki, dan ibu kota Ankara, adalah antara bandar berisiko tinggi.

Setakat ini program vaksinasi Turki telah memberi 15 juta suntikan di mana 8.4 juta mendapat dos pertama dan 6.6 juta mendapat dua dos.

Di Istanbul, lebih  2.33 juta vaksin sudah diberi melibatkan 1.29 juta dos pertama dan 1.04 juta dos kedua manakala 1.18 juta suntikan di Ankara.

Related posts

Leave a Comment