Jangan leka gelombang keempat

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggesa rakyat supaya terus waspada  ketika beliau mengumumkan langkah-langkah terbaharu dalam memperluaskan program vaksinasi di negara itu.

Beliau mengingatkan rakyat  susulan gelombang keempat yang dijangka berlaku.

“Minggu ini, menerusi pentadbiran saya, kerja-kerja intensif dengan pengeluar vaksin dan usaha pengedaran, jumlah vaksin yang boleh diberikan di pusat vaksinasi akan mencatat rekod baharu dengan 33 juta dos,” katanya pada Isnin di White House.

Katanya, dengan lebih banyak bekalan vaksin di negeri-negeri, pusat kesihatan komuniti dan farmasi, AS boleh memvaksinasi kumpulan risiko tinggi dengan lebih cepat berbanding apa yang telah dilakukan.

Pengarah Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit, Dr Rochelle Walensky sebelum ini mendedahkan, peningkatan kes di negara itu adalah sekitar 10 peratus minggu lalu.

Ia menyaksikan peningkatan sehingga 60,000 kes sehari dengan kadar mereka yang ditahan di wad dan angka kematian juga meningkat.

Justeru, Biden menggesa agar orang ramai tidak memandang remeh perkara tersebut dan terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Ia termasuk menyeru agar kerajaan negeri dan pemimpin komuniti melaksanakan semula perintah pemakaian pelitup muka.

“Jika kita leka, kita akan lihat keadaan penularan virus ini semakin teruk, bukannya semakin baik. Orang ramai semakin lalai dan tidak berjaga-jaga, ini sangat tidak baik.”

Biden mengumumkan, menjelang 19 April, sekurang-kurangnya 90 peratus populasi dewasa AS layak mendapat vaksinasi – dan akan mendapat akses ke pusat vaksinasi dalam jarak 5 batu dari rumah mereka.

White House juga sedang berusaha menggandakan jumlah farmasi yang mengambil bahagian dalam program farmasi runcit persekutuan dan meningkatkan jumlah dos untuk mereka edarkan.

Related posts

Leave a Comment