Agihan tidak sama rata jejas ekonomi

GENEVA 30 Mac – Pengagihan vaksin yang tidak sama rata secara berterusan bukan sahaja disifatkan sebagai tindakan mementingkan diri sendiri malahan melambatkan proses pertumbuhan semula ekonomi.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata walaupun vaksin Covid-19 sedang diedarkan di seluruh dunia

tetapi pengedarannya masih tidak sama rata.

“Terlalu ramai pekerja dan kumpulan berisiko masih menunggu untuk divaksin di banyak tempat. Dalam kita bercakap ketika ini, 36 negara masih belum memulakan dan tiada akses kepada vaksin,” kata Dr Tedros.

Justeru, jelasnya, solidariti untuk menghentikan penularan virus ini amat diperlukan.

Pada masa sama, beliau menegaskan perang Covid-19 hanya akan berkesan sekiranya semua negara bersatu.

Setakat ini 177 negara sudah memulakan program vaksinasi.

Semalam Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengkritik negara-negara maju kerana “membolot bekalan” vaksin Covid-19 dan menggesa agar ia dikongsi dengan negara-negara lain di dunia.

“Saya sangat prihatin terhadap pengagihan sangat tidak adil vaksin-vaksin di dunia,” kata Guterres dalam satu wawancara yang disiarkan stesen CBC Kanada pada Ahad (28 Mac)

“Ini adalah kepentingan semua orang untuk memastikan secepat mungkin dan seadil mungkin, setiap orang mendapat vaksin di semua negara dan bahawa vaksin adalah sebetul-betulnya barangan awam global,” kata beliau.

Beliau mengkritik negara-negara kaya yang “mementingkan diri sendiri” kerana membolot bekalan vaksin melebihi jumlah yang diperlukan penduduk mereka.

“Kami sudah merayu kepada negara-negara maju supaya berkongsi sebahagian vaksin yang sudah mereka beli dan dalam banyak keadaan, mereka membeli lebih daripada apa yang diperlukan,” katanya.

Dalam hubungan ini beliau menyatakan bahawa sistem antarabangsa vaksin, Covax untuk negara-negara kurang mampu sedang berdepan kesukaran kerana “banyak insiden membolot bekalan”.

Beliau berkata usaha untuk menamatkan pandemik sangat bergantung kepada kemungkinan mendapatkan vaksinasi secepat mungkin bagi penduduk di merata dunia.

Related posts

Leave a Comment