17 korban banjir

PUTRAJAYA 21 Dis. – Setakat semalam, sebanyak 11 mayat ditemui di Selangor manakala Pahang mencatat jumlah korban seramai enam orang dengan empat lagi dilapor masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, Bentong.

Penemuan mayat itu menjadikan 17 orang terkoban dalam kejadian banjir yang melanda lapan negeri, dan mengakibatkan 66,939 mangsa dipindahkan ke 466 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang dibuka di Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.

Di SELANGOR, kawasan Taman Sri Muda, merekodkan penemuan lapan mayat sehingga tengah malam tadi.

Dua lagi mangsa maut dipercayai lemas dalam kejadian berasingan di Dengkil, Sepang dengan identiti mereka belum dikenal pasti.

Sementara itu, satu lagi kes maut membabitkan seorang lelaki dipercayai pemandu treler yang ditemui di Desa Coalfields, Kuala Selangor, pada Ahad.

Sementara itu, di PAHANG, operator kilang M.Gunalan, 38, menjadi korban pertama banjir di negeri itu setelah ditemukan maut pada jam 2.22 petang Jumaat (17 Dis) kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilihat terjatuh semasa meredah banjir di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina di Gambang.

Korban kedua direkodkan membabitkan seorang lelaki yang dilapor hilang pada 1 pagi Ahad, selepas dia dikatakan cuba meredah banjir di Kampung Cempaka bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas. Bagaimanapun rakannya terselamat.

Tiga mayat wanita dan satu lelaki, dipercayai daripada kumpulan lima individu dilapor hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Isnin yang memulakan operasi bermula 9 pagi di kawasan mereka dilapor hilang.

Related posts

Leave a Comment