Malaysia terus beli AstraZeneca

PUTRAJAYA 15 Mac – Malaysia akan meneruskan proses penerimaan dan pembelian vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca memandangkan tiada bukti menunjukkan vaksin itu menyebabkan darah beku, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Malaysia telah menerima maklumat daripada AstraZeneca berhubung kesan vaksinasi dan setakat ini, tiada data menunjukkan kaitan langsung antara pemberian suntikan vaksin itu dengan kes darah beku yang menyebabkan kematian di beberapa negara.

“Buat masa ini, tidak ada pendirian lain berhubung penerimaan dan pembelian AstraZeneca kerana ia masih kekal (seperti dahulu),” katanya pada sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini hari ini bersama dengan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beberapa negara seperti Denmark, Norway, Iceland dan Thailand dilaporkan menggantung sementara penggunaan vaksin itu susulan laporan berlaku pembentukan darah beku ke atas beberapa individu selepas menerima suntikan.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata pihaknya akan meneliti data klinikal mengenai AstraZeneca serta insiden di luar negara bagi membolehkan pakar membuat rumusan mengenai isu penggunaan vaksin itu. 

Dr Adham pula berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) melakukan penelitian rapi terhadap apa jua vaksin Covid-19 yang akan digunakan di Malaysia.

“Kita percaya dengan NPRA dan untuk vaksin AstraZeneca ini, kita lihat terhadap kualiti serta keselamatan vaksin itu sendiri,” katanya.

Vaksin AstraZeneca telah diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac lepas.

Related posts

Leave a Comment