HSR Haramain sambung 31 Mac

JEDDAH 15 Mac – Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Haramain mengumumkan tempahan dan jualan tiket melalui web bermula hari ini (Isnin) menjelang pembukaan semula perkhidmatan itu mulai 31 Mac ini.

Tempahan itu adalah bagi perjalanan dari dan ke Makkah, Madinah, Lapangan Terbang King Abdulaziz Jeddah dan Bandar Ekonomi King Abdullah.

Perkhidmatan itu disambung semula selepas memastikan tahap keselamatan operasi sebagai persiapan untuk menerima pengguna dalam kalangan jemaah umrah, pelawat dan jemaah haji.

HSR Haramain mula beroperasi pada September 2018 yang melalui laluan sejauh 450 kilometer antara Makkah dan Madinah melalui pelabuhan Laut Merah Jeddah.

Dengan kelajuan 300 kilometer sejam, ia akan mengurangkan masa perjalanan antara Makkah dan Madinah daripada enam jam kepada lebih kurang dua jam 30 minit dan antara Jeddah dan Makkah cuma 21 minit.

Bagaimanapun pada 29 September 2019, satu kebakaran meletus di stesen kereta api laju Haramain di Jeddah. Akibatnya perkhidmatan terpaksa dihentikan sementara selama dua bulan sebelum disambung semula.

Bagaimanapun perkhidmatan itu sekali lagi dihentikan berikutan pandemik Covid-19 sejak Mac 2020.

(Foto 30 Mei 2019)

Related posts

Leave a Comment