PKPD Hostel Centennial tamat

KUALA LUMPUR 9 Mac –  Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hostel Centennial, Kg Acheh, Manjung, Perak ditamatkan mengikut jadual iaitu esok,  10 Mac, kata Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan itu dibuat setelah baki kes aktif di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan, terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

Mulai esok juga, kerajaan membenarkan penggambaran di luar studio di kawasan PKPB dan PKPP dengan mematuhi SOP Pembangunan Kandungan Kreatif dan syarat-syarat yang ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Selain itu turut dibenarkan persembahan di lounge hotel dengan mematuhi semua SOP acara langsung iaitu dengan kapasiti kehadiran pengunjung 50 peratus ruang premis bagi kawasan PKPB.

“Manakala kehadiran penonton mengikut keluasan premis dan mengamalkan penjarakan fizikal bagi kawasan PKPP,” katanya.

Dalam pada itu katanya, seramai 269 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 251 dikompaun manakala 18 direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (85) tiada penjarakan fizikal (66), tidak memakai pelitup muka (65), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (24), aktiviti pusat hiburan (14) dan lain-lain (15).

Jelasnya lagi, pihak berkuasa melalui Op Benteng pada Isnin juga menangkap 29 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas empat buah kenderaan darat.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 79 buah bot atau kapal di perairan negara dan sembilan buah kenderaan darat melalui 11 aktiviti penglihatan.

Related posts

Leave a Comment