Pelancongan negeri PKPP ke PKPP

KUALA LUMPUR 9 Mac – Kerajaan membenarkan pergerakan pelancongan dari negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke PKPP lain berkuat kuasa esok, kata Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, ia perlu menggunakan agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar , bukannya menggunakan kenderaan persendirian.

“Syarikat agensi pelancongan perlu mendapatkan kebenaran daripada PDRM untuk pergerakan rentas negeri, perjalanan mestilah terus ke negeri PKPP.

“Ada dua keadaaan, satu PKPP ke PKPP yang bersebelahan, sebagai contoh Pahang PKPP, Terengganu PKPP, jadi dia terus ke negeri PKPP.

“Tetapi ada negeri yang PKPP ke PKPP tetapi terpaksa melalui negeri PKPB, kita hanya benarkan PKPP dan PKPP, tetapi lalu PKPB, jadi kenderaan ini mesti meneruskan perjalanan ke PKPP tanpa berhenti di kawasan PKPB,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Ismail juga memberitahu, status Pulau Langkawi akan bertukar kepada PKPP daripada PKPB bermula 10 Mac.

“Ini memandangkan Pulau Langkawi telah menjadi zon hijau dan kes terakhir yang direkodkan adalah pada 20 Februari lepas, iaitu sebanyak dua kes dan kes terakhir untuk Langkawi. Kita jadikan Langkawi sebagai zon hijau,” ujarnya.

Ismail turut mengumumkan dasar bekerja dari rumah (BDR) masih terpakai kepada kakitangan awam dan industri di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) masih terpakai walaupun semua negeri kini di bawah PKPB dan PKPP.

Related posts

Leave a Comment