KOTA BHARU 28 Jan. – Ops Tunggak Kenderaan Thailand yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kutipan sebanyak RM5.59 juta dalam tempoh tiga tahuh dengan kutipan tertinggi RM4.2 juta pada tahun lalu.
Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, pada 2023, jumlah kutipan adalah sebanyak RM203,400 sebelum meningkat kepada RM1.1 juta pada 2024.
Bercakap pada sidang media di sini, beliau berkata jumlah kutipan ini mencerminkan keberkesanan strategi penguatkuasaan bersepadu, selain tahap pematuhan yang semakin meningkat dalam kalangan pemilik dan pemandu kenderaan asing.
Beliau memberitahu, tiga kesalahan utama dikesan menerusi operasi berkenaan iaitu tiada Permit Peredaran Antarabangsa (ICP), pemanduan tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta kegagalan mempamerkan ICP mengikut ketetapan.
Katanya , terdapat satu van Thailand di Perlis yang dikesan mempunyai saman paling banyak iaitu 45 saman dengan nilainya RM14,000 sejak beberapa tahun lalu.
“Kita mengarahkan mereka untuk selesaikan saman berkenaan sebelum melepaskan kenderaan terbabit,” katanya yang turut menjelaskan kira-kira 1,000 kenderaan berdaftar Thailand yang merentasi empat negeri sempadan dalam pemantauan JPJ.
Beliau berkata sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, jabatan itu merekodkan 11,946 kes membabitkan kenderaan tanpa ICP, pemandu tanpa CDL (3,585 kes) serta 5,573 kes kegagalan mempamerkan ICP mengikut kehendak yang ditetapkan.
“Dua negeri dengan jumlah kes tertinggi ialah Kedah dengan 37,527 kes, diikuti Kelantan sebanyak 6,653 kes, selari dengan kedudukan geografi kedua-dua negeri yang berhampiran pintu masuk sempadan negara,” katanya.
Beliau menasihati pemilik serta pemandu kenderaan asing supaya menjelaskan tunggakan saman dan memastikan semua dokumen perjalanan serta kenderaan berada dalam keadaan sah sebelum memasuki atau bergerak di dalam negara.
Mengenai Ops Luxury, Muhammad Kifli berkata sejak dilancarkan pada Julai tahun lepas, JPJ telah menyita 1,050 kenderaan mewah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta.
Antara kenderaan mewah yang disita ialah Rolls-Royce, Mercedes-Benz, BYD dan Lamborghini, dengan operasi terbaharu di Karak, Pahang baru-baru ini menyaksikan enam kenderaan bernilai kira-kira RM3 juta disita.
Nnn
