Tiada kerjasama politik DAP – UMNO

GEORGE TOWN 8 Mac – DAP akan hanya menjalinkan kerjasama dengan UMNO dalam hal melibatkan kepentingan rakyat sahaja, bukannya kerjasama politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). kata  Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini senada dengan UMNO dalam menyatakan persetujuan agar sidang Parlimen diadakan bagi membahaskan permasalahan penularan pandemik Covid-19.

“Kita (DAP) tidak mempunyai masalah atau halangan untuk bekerjasama dengan UMNO jika ia melibatkan kepentingan rakyat dan bukannya atas dasar kepentingan parti.

“Contohnya, DAP bersetuju dengan UMNO yang mahukan persidangan Parlimen diadakan. Selain itu, kita juga berpendirian sama dengan UMNO dalam konflik di Myanmar dan Palestin,” katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP di sini pada Isnin.

Beliau mengulas pendirian DAP untuk bekerjasama dengan UMNO pada PRU15.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan itu turut berkata, DAP akan tetap membawa isu wakil rakyat parti itu yang bertindak melompat parti sehingga ke peringkat mahkamah meskipun perkara tersebut tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berprinsip tidak sepatutnya menyokong tindakan tersebut.

Malah kenyataan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan juga, jelasnya melanggar prinsip politik yang dipertahankan pemimpin-pemimpin Pas terdahulu.

“Kita akan pergi mahkamah. Sebagai sebuah parti kononnya menegakkan prinsip yang bersih, tidak akan ada sokongan untuk yang lompat parti, saya rasa itu tidak patut. Sepatutnya Takiyuddin pertahankan seperti Datuk Seri Nik Aziz pertahankan,” tambahnya lagi.

Related posts

Leave a Comment