Singapura tambah 11 kes Covid-19

SINGAPURA 28 Feb. – Sepuluh kes import Covid-19 dan satu kes melibatkan seorang penghuni asrama pekerja asing dilaporkan setakat tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 59,936 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan, kesemua kes import dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setiba mereka di sini.

Kes  di asrama pekerja itu melibatkan warga Bangladesh berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pembantu penghantaran di Chng Woodworking dan tinggal di Kranji Way.

Tugasnya memasukkan dan memunggah barang, tidak melibatkan interaksi dengan pelanggan.

Lelaki itu dikenal pasti sebagai kontak rapat kes sebelumnya, seorang warga Bangladesh berusia 35 tahun yang juga bekerja sebagai pembantu penghantaran di syarikat yang sama dan tinggal di Kranji Way.

Mengenai 10 kes import yang dilaporkan, empat adalah pemegang pas lawatan jangka panjang yang tiba dari India dan Myanmar.

Empat lagi  adalah pemegang pas kerja yang tiba dari India dan Filipina.

Baki dua kes import yang dilaporkan pada Ahad adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari Switzerland dan pemegang permit kerja yang tiba dari India.

Sementara itu, tujuh lagi kes Covid-19 dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat menjadikan 59,823 orang pulih sepenuhnya dari jangkitan.

Terdapat 18 pesakit Covid-19 yang masih di hospital, yang kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih, dengan seorang berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Related posts

Leave a Comment