2 juta penduduk Auckland berkurung

PENDUDUK Auckland sekali lagi dikenakan perintah berkurung bagi mengekang penularan varian UK iaitu genap setahun New Zealand mencatatkan kes pertama Covid-19 di negara itu.

Kira-kira 2 juta penduduk terkesan dengan perintah berkurung selama tujuh hari itu yang diumumkan Perdana Menteri Jacinda Ardern.

Langkah berkenaan diambil susulan satu kes baharu dikesan yang didapati telah dijangkiti selama seminggu namun tidak menjalani kuarantin.

‘Kemungkinan akan ada beberapa kes baharu berkaitan kes ini,” jelas Arden dalam sidang media pada Sabtu.

Perintah berkurung tahap tiga ini susulan perintah kekal di rumah selama tiga hari yang dikenakan pada pertengahan Februari selepas beberapa kes Covid-19 varian UK baharu dikesan di bandar tersebut.

Sehingga kini terdapat 14 kes berkaitan kluster tersebut.

“Walaupun kami sudah berusaha sebaik mungkin, penularan tempatan tetap berlaku,” kata Ardern.

Penduduk Auckland hanya dibenarkan keluar rumah jika perlu dan tempat awam tidak dibenarkan beroperasi.

Sekatan di kawasan lain negara itu pula akan diperketatkan kepada tahap dua di mana perhimpunan awam masih dibenarkan dengan jumlah terhad.

Langkah ini akan menjejaskan beberapa acara sukan yang telah dijadualkan di Auckland.

New Zealand, dengan jumlah penduduk sebanyak 5 juta, telah mencatatkan lebih 2,000 kes positif Covid-19 sejak awal penularan wabak berkenaan dengan 26 kes kematian.

Related posts

Leave a Comment