Vaksinasi Thailand bermula

BANGKOK 28 Feb. – Thailand memulakan kempen vaksinasi Covid-19 dengan dos pertama diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul yang juga Menteri Kesihatan di Bamrasnaradura Institute, sebuah institusi penyakit berjangkit.

Dr Yong Poovorawan, profesor perubatan, Fakulti Perubatan Chulalongkorn memberi suntikan dos pertama vaksin Sinovac keluaran China itu.

Turut sama menerima vaksin adalah Timbalan Menteri Kesihatan, Sathit Pitutecha, Menteri Kebudayaan  Ittipol Khunpluem, Timbalan Menteri Pelajaran Kanokwan Wilawan dan Setiausaha Tetap Kesihatan Dr Kiatiphum Wongrajit, serta pegawai kesihatan dan kumpulan perubatan

“Saya berharap vaksinasi itu akan mengelakkan orang ramai daripada terkena jangkitan virus Covid-19 sekali gus menjadikan Thailand kembali normal secepat mungkin,” kata Anutin yang dipetik laporan Reuters.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha, 66, turut menghadiri acara berkenaan, namun beliau tidak menerima suntikan vaksin berikutan usianya berada di luar lingkungan penerima iaitu antara 19 hingga 59 tahun.

Thailand sebelum ini menerima sebanyak 200,000 dos pertama vaksin Sinovac manakala 117,00 dos vaksin AstraZeneca diimport minggu ini.

Vaksin Sinovac telah diedarkan ke 13 wilayah berisiko tinggi, yang akan mula menyuntik profesional dan sukarelawan barisan depan.

Dalam pada itu, menurut kenyataan syarikat vaksin AstraZeneca, vaksin yang dihasilkan pihaknya dijangka akan mula digunakan pada minggu kedua Mac ini selepas melalui ujian kawalan kualiti.

Thailand dijangka mengambil 1.8 juta dos tambahan vaksin Sinovac pada Mac dan April depan.

Related posts

Leave a Comment