Vaksinasi Pulau Pinang bermula

GEORGETOWN 28 Feb. – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri Pulau Pinang bermula hari ini apabila Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, menjadi individu terawal di negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini.

Kon Yeow menerima suntikan pertama di Auditorium Hospital Pulau Pinang, Kompleks Rawatan Harian (ACC), Hospital Pulau Pinang kira-kira pukul 10.25 pagi Ahad.

Beliau disuntik oleh Penyelia Jururawat HPP, Matron Hafizah Hamzah.

Jabatan Kesihatan negeri sebelum ini memaklumkan program berkenaan bakal dipecahkan kepada tiga fasa membabitkan tempoh pelaksanaan selama setahun.

Sasaran adalah meliputi 70 peratus, iaitu 1.3 juta rakyat Pulau Pinang, bagi membolehkan imuniti kelompok dibentuk.

Sehingga kini, sebanyak 15 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah dikenal pasti membabitkan tiga dewan bagi setiap daerah di negeri ini.

Pada Ahad minggu lepas, sebanyak 16,000 dos Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Vaksin tersebut disimpan di dua Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di negeri itu terlebih dahulu sebelum proses vaksinasi dibuat di 19 PPV yang ditetapkan di negeri itu.

Related posts

Leave a Comment