600,000 dos vaksin tiba di Filipina

MANILA 28 Feb. – Filipina akhirnya menerima penghantaran pertama vaksin Covid-19, antara negara terakhir di Asia Tenggara menerima vaksin ketika jumlah jangkitan dan kematian akibat virus berkenaan yang kedua tertinggi rantau ini.

Sebuah pesawat tentera China yang membawa 600,000 dos vaksin yang disumbangkan oleh China tiba di pangkalan udara di Manila, petang ini.

Presiden Rodrigo Duterte dan pegawai tertinggi Kabinet turut berada di lokasi bagi menyambut ketibaan vaksin dari Sinovac Biotech Ltd itu.

“Ketibaan pesawat itu membawa harapan yang kita akhirnya boleh kembali kepada kehidupan seperti biasa,” kata jurucakap presiden, Harry Roque.

Selain vaksin yang disumbangkan dari Sinovac Biotech, Filipina akan menerima 525,600 dos vaksin COVID-19 dari AstraZeneca yang dijadualkan tiba pada Isnin, kata Roque.

Pentadbiran Duterte sebelum ini dikritik kerana lewat menguruskan dan mendapatkan vaksin, malah lebih lewat daripada negara Asia Tenggara lain yang lebih kecil dan miskin seperti Kemboja, Myanmar dan Laos.

Penghantaran vaksin tersebut sebelum ini ditangguhkan kerana tidak mendapat kelulusan dari Pentadbiran Makanan dan Dadah Manila.

Sementara itu, setakat pukul 4 petang ini, Jabatan Kesihatan mencatatkan 2,113 kes baharu Covid-19 menjadikan 576,352 kes dengan 29 lagi meninggal dunia menjadikan 12,318 kematian.

Sebanyak 9,418 kes sembuh dilaporkan yang menjadikan jumlah pesakit pulih 534,271 atau 92.7 peratus.

Related posts

Leave a Comment