PKR minta PM letak jawatan

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan tambahan ahli Parlimen, Parti Keadilan Rakyat ( PKR) meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun dengan pengkhianatan dua Ahli Parlimen hari ini, Muhyiddin perlu sedar bahawa majoriti ahli Parlimen tidak lagi bersama beliau dan tidak sepatutnya beliau berusaha untuk mengekalkan Kerajaan yang lemah ini

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat petang ini, beliau menyatakan permohonan maaf PKR terhadap para pengundi di Julau dan Tebrau di atas sikap dua Ahli Parlimen yang keluar parti hari ini.

“Majlis Pimpinan Pusat juga telah membuat keputusan hari ini untuk memecat YB Larry Sng, Ketua Cabang Julau, dan YB Steven Choong, Ketua Cabang Tebrau, sebagai anggota KEADILAN dengan serta-merta,” katanya

Beliau juga meminta jentera parti di kedua-dua cabang tersebut melipat gandakan usaha mendampingi rakyat, menyelesaikan isu dan masalah, serta bersiap sedia mengambil semula kerusi-kerusi ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Majlis Pimpinan Pusat juga telah membincangkan tindakan mahkamah yang telah dan akan diambil terhadap mereka yang telah bertanding di atas tiket PKR tetapi telah mengkhianati mandat rakyat dan keluar parti.

“Apa yang jelas, ketika wabak Covid-19 masih merebak dan ekonomi negara terus suram, darurat digunakan sebagai alasan mengekalkan kuasa Kerajaan yang telah hilang sokongan majoriti iaitu dengan memberi masa untuk mendapatkan sokongan Ahli-Ahli Parlimen melalui ugutan mahupun tawaran jawatan dan habuan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment