1,924 kes baharu, 12 kematian

PUTRAJAYA 25 Feb. – Kes harian Covid-19 kembali ke angka kurang 2,000 dengan merekodkan 1,924 kes, di mana 1,918 merupakan kes tempatan dan enam kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes positif di negara ini kini 293,698 kes.

“Sejak penguatkuasaan Ordinan Darurat pada 11 Januari  2021, Malaysia menunjukkan trend penurunan kes harian baharu secara konsisten dan hari ini buat pertama kalinya Malaysia kembali melaporkan kes harian kurang daripada 2,000 kes.

“Ini merupakan perkembangan yang sangat positif dan diharapkan situasi semasa COvid-19 akan bertambah baik,” katanya dalam kenyataan.

Sebanyak 105 kes (5.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (41 kes), Kluster Damai Pelangi (32 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (15 kes), Kluster Tembok Bendera (13 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes),  dan Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes).

Dr Noor Hisham berkata kes sembuh pada hari ini merekodkan 3,752 kes menjadikan jumlah kes sembuh keseluruhan ialah 263,761 dan kes aktif sebanyak 28,837.

Beliau berkata 12 kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kematian sejak pandemik itu melanda negara ialah 1,100.

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan sembilan kes di Selangor, dua di Sarawak, dan satu di  Pulau Pinang. Kesemua kes kematian melibatkan warganegara.

Manakala  pesakit yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 205 kes dengan 91 memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment