UMNO Sabah hampir tenggelam selepas 30 tahun

SELEPAS hampir 30 tahun, ‘kapal besar’ itu tiba-tiba dilambung ombak. Hampir tenggelam. Nakhoda dan beberapa anak kapal ‘terjun’ menyelamatkan diri selepas menyedari ‘kapal yang sedang belayar itu mengalami kebocoran’.

Bagi yang cemas, mabuk dilambung ombak dan tidak mampu bertahan terus terjun ke laut untuk mencari kapal baharu yang lebih selamat.

Bagaimanapun yang masih bertahan di atas kapal mampu meneruskan pelayaran walaupun ketika itu masing-masing menyalahkan itu dan ini mengenai kapal itu. Hakikatnya, selama ini, merekalah yang sama-sama mengemudi pelayaran.

Mungkin itulah gambaran berhubung UMNO Sabah yang bakal menyambut ulang tahun ke-30 kelahiran esok, 21 Februari.

Menyelak kembali kelahiran UMNO Sabah, ia bermula dengan Bapa Kemerdekaan Sabah Tun Datu Mustapha Datu Harun mengumumkan pembubaran Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang diasaskannya pada 23 Disember 1961.

“Berpindah dari kapal kecil ke kapal besar”. Itulah ungkapan Allahyarham Mustapha bagi memberi laluan kepada UMNO bertapak di Sabah pada 21 Februari 1991.

Majlis Tertinggi UMNO pada 15 Oktober 1990 membuat ketetapan menubuhkan UMNO di Sabah dan ini disambut baik oleh Allahyarham Mustapha ketika itu yang menyedari keperluan sebuah parti dominan yang kukuh dan stabil bagi membela nasib rakyat secara konsisten di Sabah.

Pada Mesyuarat Agung Ke-23 USNO pada 22 Februari 1991 di Dewan Perdana Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Kota Kinabalu,Presiden UMNO ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan UMNO Sabah.

Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Ghafar Baba dipertanggungjawab meneraju UMNO Sabah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri dan Mustapha yang menjadi ahli pertama UMNO Sabah sebagai Timbalan Pengerusi.

UMNO Sabah mula menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 1994, menang 18 daripada 20 kerusi ditandingi atas tiket BN, diikuti memenangi semua 25 kerusi ditandingi dalam PRN 1999.

Rekod cemerlang BN berlanjutan sehinggalah PRU-14 yang menyaksikan pengaruh UMNO Sabah jatuh mendadak apabila kehilangan separuh daripada kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi semasa PRU-14.

Antara pemimpin kanan UMNO Sabah yang tewas ialah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Mohd Salleh Said Keruak di Parlimen Kota Belud; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan (Parlimen Sepanggar) dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Yahya Hussin (DUN Petagas).

Lebih parah lagi, apabila 36 pemimpin UMNO meninggalkan parti itu. Sembilan ADUN dan lima Ahli Parlimen yang menang atas tiket BN meninggalkan UMNO. Diikuti seorang lagi Ahli Parlimen dan akhirnya Bung Moktar keseorangan.

Maka tidak hairanlah Bung Moktar dilantik mengetuai UMNO Sabah dan keupayaannya diuji semasa PRN Ke-16.

Sebelum itu juga UMNO diuji melalui PRK Kimanis apabila wakil rakyatnya yang sebelum itu turut meninggalkan UMNO hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen. Kimanis bagaimanapun kekal milik BN.

Berdasarkan kemenangan PRK Kimanis dan PRN dengan memenangi 14 kerusi, UMNO Sabah masih lagi relevan dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah.
UMNO Sabah mampu bangkit ketika parti itu dianggap sudah tidak wujud .

Bung Moktar berkata, selepas diberi mandat mengetuai UMNO Sabah, beliau tidak mengalah dengan situasi yang berlaku , malah terus berusaha meyakinkan akar umbi UMNO di Sabah bahawa parti itu mampu bangkit semula dengan sokongan ahli dan pemimpin yang masih setia.

Katanya, PRN pada September lalu membuktikan kebangkitan semula UMNO Sabah selepas hanya tinggal seorang wakil rakyat UMNO dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika Warisan memerintah sebelum ini.

“Walaupun hanya menang 14 daripada 31 kerusi yang ditandingi pada PRN itu, ia adalah petunjuk positif bahawa UMNO (BN) masih diterima oleh rakyat Sabah dan menyumbang kepada kejayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Bung Moktar yakin sokongan rakyat akar umbi terhadap UMNO Sabah terus bertambah selepas ini dan beliau memberi jaminan parti itu akan terus kekal dengan perjuangan berpaksikan kepentingan rakyat.

Kini menjelang ulang tahun ke-30 kemasukan UMNO ke Sabah esok, satu perkara yang menarik perhatian adalah kenyataan Bung Moktar mengenai jumlah kerusi yang bakal ditandingi pada PRU akan datang.

Katanya, UMNO Sabah menyasarkan sekurang-kurangnya 10 hingga 13 kerusi Parlimen untuk ditandingi.

Jika mengikut fakta PRU lalu, UMNO diberikan 14 kerusi Parlimen iaitu Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Libaran, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Kalabakan.

UMNO menang di Kudat, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Beluran, Libaran dan Kinabatangan sementara yang lain kalah termasuk dengan majoriti kecil.

Menariknya apabila lima daripada kerusi yang dimenangi UMNO itu sudah menjadi milik Bersatu apabila wakil rakyat berkenaan meninggalkan UMNO beramai-ramai.

Jika UMNO masih menuntut kerusi berkenaan maka ahli Parlimen terlibat iaitu Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Zakaria Edris (Libaran) dan Rahim Bakri (Kudat) terpaksa memikirkan kawasan baharu jika mereka masih dicalonkan Bersatu.

Dalam hal ini Bung Moktar menegaskan rundingan awal bersama BN dan GRS perlu dilakukan secara telus.

“Rundingan awal akan dilakukan berdasarkan kepada kekuatan parti masing-masing dan ia perlu diputuskan lebih awal tanpa menunggu saat-saat akhir menghadapi pilihan raya,” katanya.

Apakah formula yang akan digunakan berikutan kehadiran Bersatu? Adakah akan berlaku pertembungan sesama sendiri? Mungkin formula semasa PRN dapat membantu merungkaikan isu ini sekiranya timbul masalah pembahagian kerusi.

Atau mereka kembali semula ke pangkuan UMNO? Jika berlaku adakah semudah itu UMNO serta pengundi Sabah memaafkan tindakan yang dilakukan sebelum ini?

Related posts

Leave a Comment