Ketepikan perbezaan pendapat

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta UMNO Sabah mengetepikan perbezaan pendapat dan melupakan titik bengit demi kepentingan rakyat.

Katannya, soal rakyat harus menjadi keutamaan dan untuk itu sebarang perbezaan pendapat perlu diketepikan sebaliknya masing-masing terus ke depan untuk bersama-sama mencari titik persamaan.

“Tentunya perbezaan pendapat harus dilayan namun harus ada akhlak untuk menangani perbedaan pendapat. Ada adab dalam menangani perbedaan. Dalam keadaan inilah lupakan titik bengit. Rakyat tidak harus dilupakan.

“Kita lupakankan perbezaan di kalangan kita, sebagai manusia biasa, kita mempunyai kelemahan dan tentunya perbezaan pendapat harus dilayan namun harus ada tatacara dan tasawuf dan kita ada akhlak untuk menangani perbezaan pendapat,” katanya dalam perutusan 30 tahun UMNO Sabah.

Ahmad Zahid yang menyampaikan perutusan menerusi sidang televideo berkata ‘template’ yang ada di negeri berkenaan harus dialu-alukan dan diterjemahkan pelaksanaannya yang mana berpaksikan kepada kepentingan rakyat semata-mata.

Soal rakyat adalah soal yang sangat utama dan dalam keadaan inilah kita harus melupakan titik bengit di kalangan kita. Yang penting adalah rakyat dan kita berada di persada politik dan kepimpinan kerana rakyat dan rakyat harus didahulukan. Rakyat Sabah tidak akan pernah dilupakan.

“Dalam keadaan itulah saya fikir Gagasan Rakyat Sabah (GRS) biarpun pelbagai parti berada di dalamnya….tetapi saya memandang bahawa ‘template’ atau acuan ini harus dialu-alukan dan diterjemahkan pelaksanaannya.

“Ada cahaya terang di hujung terowong. Keikhlasan kita berjuang…Insya Allah kejayaan bersama dengan kita dan kita yakin akar umbi UMNO tetap kukuh dan utuh,” katanya.

Ahmad Zahid berkata tiga dekad UMNO Sabah merupakan satu tempoh yang cukup panjang dan pelbagai cabaran dan rintangan dilalui serta ditempuhi

“Kita telah mencapai banyak kejayaan dan biarpun kita menghadapi pelbagai halangan keprihatinan kita sebagai sebuah parti dan selama 28 tahun menjadi kerajaan telah dapat mendekatkan jarak antara rakyat dengan pemimpin, jarak antara semenanjung dan Sabah dengan Sarawak,” katanya.

Ahmad Zahid berkata perjuangan perlu diteruskan dan masing-masing perlu bergerak ke depan tanpa menoleh lagi kecuali untuk melihat sejarah.

Sambil mengucapkan selamat berjuang kepada rakan-rakan UMNO Sabah, beliau mengajak UMNO Sabah terus berjuang.

“.Gunakan kesempatan ini untuk raih sokongan dan dokongan rakyat. 11 Mei (tahun ini) UMNO berada 75 tahun kelahiran. Mungkin 25 tahun akan datang apabila kita tidak mungkin berada di persada kepimpinan lagi kita akan dikenang ketika parti akan merayakan sambutan ulang tahun,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment