Mac permulaan normal di Turki

ANKARA: Turki akan menarik balik pelbagai sekatan untuk mengembalikan semula suasana normal negara itu secara berperingkat dari wilayah ke wilayah mulai bulan depan (Mac), kata Presidennya Tayyip Erdogan.

Katanya, sekatan pergerakan Covid-19 di seluruh negara akan ditarik balik di beberapa wilayah berdasarkan kadar jangkitan.

Turki melaksanakan perintah berkurung, sekatan pergerakan hujung minggu dan sekatan-sekatan lain dalam bulan Disember di tengah-tengah jumlah kes yang meningkat.

Bercakap selepas mesyuarat Kabinet semalam, beliau berkata, Turki merancang untuk membuka semula sekolah-sekolah di negara itu pada 1 Mac

Katanya, satu perancangan untuk membuka semula kafe dan restoran, yang sudah ditutup berbulan-bulan lamanya, akan diumumkan dalam beberapa hari mendatang dan menggesa penduduk terus mematuhi langkah-langkah pengurusan Covid-19.

“Kami akan meletakkan wilayah-wilayah dalam kategori risiko, seperti rendah, sederhana, tinggi dan sangat tinggi berdasarkan kadar jangkitan dan vaksinasi. Pada bulan Mac, kami akan mula mengmbalikan keadaan kepada normal secara bertahap-tahap,” kata beliau.

Erdogan berkata, pelan untuk mengembalikan keadaan kepada normal dan pembukaan semula sekolah akan dinilai sekali lagi dalam minggu-minggu mendatang.

Turki setakat ini melaporkan 2.6 juta kes dan hampir 27,000 kematian akibat Covid-19 sejak penularannya bermula pada Mac tahun lalu.

Meskipun program vaksinasi bermula bulan lalu, jumlah kes harian baru adalah antara 6,000 dengan 8,000 dan ini menimbulkan kebimbangan.

Program vaksinasinya setakat ini sudah diberikan kepada 5.7 juta orang menggunakan vaksin Sinovac Biotech China.

Erdogan percaya Mac akan menjadi bulan apabila Turki “mencapai kemajuan besar dari segi vaksinasi”, dan menambah Ankara akan membuat aturan yang diperlukan untuk mendapatkan dos-dos vaksin.

“Kami berada di kedudukan yang mana kami boleh menghentikan virus ini daripada menjadi ancaman dengan menunjukkan sedikit kesabaran, sedikit lagi pengorbanan,” kata Erdogan.

(Foto Turkish Presidency)

Related posts

Leave a Comment