Kerajaan pusat tidak haramkan vape

PUTRAJAYA 19 Nov. – Kerajaan berpendirian tidak mengharamkan penjualan vape pada peringkat nasional, namun menyerahkan kepada kerajaan negeri menentukan dasar masing-masing termasuk melarang penjualan vape, melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata, kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu.

“Saya kira kerajaan negeri perlu membuat keputusan masing-masing. Kita tidak dapat mengharamkan vape ketika ini, maka kita mengambil sikap untuk mengawal selia.

“Sebagai langkah pertama, pastinya kita ingin mengharamkan tetapi jika tidak boleh diharamkan, kita perlu mengawal selia. Kerajaan Perpaduan tetap berpendirian kawal selia adalah pendekatan terbaik buat masa ini,” katanya selepas merasmikan sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia (WAAW) 2024, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menyarankan kerajaan pengharaman sepenuhnya penggunaan vape.

Al-Sultan Abdullah bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda akan penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat di Pahang, terutama dalam kalangan belia, berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsan (AADK).

Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung didapati bermula dengan penggunaan vape.

Susulan itu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berharap Kementerian Kesihatan (KKM) mendengar saranan Sultan Pahang itu bagi menyelamatkan nyawa generasi akan datang.

Pegawai Pendidikan CAP, N V Subbarow berkata, CAP gembira dengan titah Al-Sultan Abdullah itu dan menyifatkan berita yang ditunggu-tunggu oleh CAP termasuk ibu bapa dan guru.

Sebelum ini, Johor dilapor telah melaksanakan larangan menjual vape dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang menjualnya secara terbuka.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa Akta 852 menyediakan kerangka perundangan yang lengkap untuk mengawal selia seluruh rantaian bekalan vape, termasuk aspek pendaftaran, penjualan dan penghantaran.

“Keputusan kementerian untuk kawal selia melalui Akta 852 adalah satu langkah perundangan yang lengkap dan sempurna. Kita mengambil sikap untuk mengawal selia dan tidak mengharamkan vape secara menyeluruh,” katanya.

NNN

Related posts

Leave a Comment