Edaran vaksin perlahan

GENEVA: Pengedaran bekalan vaksin Covid-19  sangat perlahan dan usaha global perlu dilakukan untuk memastikan semua orang di seluruh dunia mendapatkan vaksin secepat mungkin.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, hanya 10 negara yang sudah mencapai 75 peratus proses vaksinasi.

Katanya, setakat ini, 130 negara masih belum menerima dos pertama vaksin sedangkan pengedaran vaksin membawa harapan tetapi pada saat kritikal ini, ekuiti vaksin adalah ujian terbesar sebelum komuniti global.

“Kita perlu memastikan semua orang di semua tempat untuk mendapatkan vaksin secepat mungkin,” jelasnya.

Pada masa sama, Guterres menyeru rancangan vaksinasi global yang mendesak untuk menyatukan mereka yang mempunyai kekuatan untuk memastikan pengedaran vaksin yang adil.

Ia termasuk para saintis, pengeluar vaksin dan mereka yang dapat membiayai usaha tersebut.

Sementara itu di Brussels, Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan persetujuan untuk membeli tambahan 300 juta dos vaksin Moderna  di tengah-tengah kebimbangan lebih banyak varian baharu yang dikenal pasti dan penularannya di seluruh Eropah.

Susulan itu, kerajaan dan pemimpin EU berusaha untuk mempercepatkan proses vaksinasi yang sebelum ini terjejas akibat bekalan terhad.

Presiden EU, Ursula Von Der Leyen menjelaskan, program vaksinasi melibatkan ketiga-tiga vaksin yang diluluskan akan dipercepatkan.

Seperti yang anda tahu, kira-kira 33 juta dos vaksin sudah dihantar, 22 juta orang sudah menerima suntikan pertama termasuk tujuh juta dos untuk dos kedua.

“Kita perlu dan akan mempercepatkan proses vaksinasi dalam beberapa minggu dan bulan. Penghantaran ketiga-tiga vaksin yang diluluskan akan dipercepatkan. Malah, akan ada vaksin baharu yang akan disediakan pada masa akan datang selepas mendapat kelulusan Agensi Ubatan Eropah (EMA).

“Bagaimanapun keadaan semakin berubah. Kita melihat lebih banyak kes melibatkan varian Covid baharu dan varian baharu ini masih lagi menular di Eropah dan seluruh dunia. Sehingga kini, vaksin yang diluluskan Eropah dilaporkan berkesan terhadap varian baharu tetapi varian ini lebih cepat menular, jadi ia mungkin lebih sukar untuk dikawal dengan vaksin,” katanya.

Sebelum ini Pfizer/Biontech menandatangani perjanjian untuk menghantar tambahan 200 juta dos vaksin ke EU.

Related posts

Leave a Comment