Rosmah diperintah bela diri

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Rosmah Mansor diperintah membela diri atas kesemua tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Rosmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Rosmah, 69 tahun, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta (S$61.7 juta) dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta (S$2.14 juta) daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Sogokan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor, sebagai ganjaran kerana menolong Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid dan Penyelenggaraan Operasi Genset Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan melalui rundingan terus.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di Malaysia; kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 hingga September 2017. 

Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah kepuasan atau RM10, 000 (S$3,289), mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram sementara peguam Jagjit Singh mengetuai pasukan pembelaan.

Sementara itu,  Jagjit Singh memaklumkan anak guamnya kecewa dengan keputusan mahkamah.

“Dia (Rosmah) tidak bercakap, emosi dia terganggu dan dia agak kecewa. Kami minta Rosmah untuk pulang ke rumah untuk kurangkan stres,” katanya lagi.

Rosmah sebelum itu dilihat tenang ketika berada di kandang tertuduh semasa keputusan dibacakan.

Dia bagaimanapun memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Mahkamah menetapkan 9, 10, 15, 16, 17, 22 dan 23 Jun serta 12 dan 15 Julai untuk sesi pembelaaan kes berkenaan.

Related posts

Leave a Comment