Sumpah Pejuang elak jadi sampah, sesumpah

BIMBANG berlaku lompatan atau pengkhianatan, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengambil langkah ‘mengikat’ kepemimpinan tertinggi parti dengan Bai’ah  (angkat sumpah dengan al-Quran) bagi menzahirkan kesetiaan mereka terhadap parti.

Walaupun masih dalam proses pendaftaran, Pejuang belajar daripada pengalaman lalu apabila berlaku lompatan melibatkan anggota Parlimen UMNO dan PKR manakala Bersatu pula melompat keluar Pakatan Harapan (PH).

Akibat lompatan itu, kerajaan PH tumbang, UMNO hilang kerusi, PKR bukan sekadar hilang kerusi tetapi juga kerajaan, Bersatu berpecah serta hilang jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan menteri .

Yang untung Bersatu, bukan sahaja mendapat wakil rakyat tambahan dari UMNO dan PKR tetapi juga menubuhkan kerajaan dengan berjawatan.

Mungkin jika ada ikatan sumpah, tidak ada yang akan menjadi seperti katak atau sesumpah. Atau menjadi sampah, istilah yang pernah digunakan oleh ahli politik terhadap mereka yang lompat parti atau mengkhianati parti.

Seperti kata Presiden (Penaja) Pejuang, Mukhriz Mahathir, walaupun langkah itu mungkin bukan jaminan bagi mereka yang terlibat untuk tidak berpaling tadah, namun beliau berharap ahli Pejuang akan berpegang teguh pada Bai’ah mereka.

Bai’ah atau apa sahaja berkaitan ‘undang-undang’ menghalang ‘lompat’ ini ada kesan baik dan buruknya. Mungkin kerana itu juga cadangan undang-undang  berkaitan anti lompat parti belum kesampaian dan menimbulkan pelbagai reaksi.

Hakikatnya lompat parti boleh mengukuh atau meruntuhkan sesebuah kerajaan dan juga parti politik. Lompat parti juga boleh mendorong kepada amalan rasuah sama ada rasuah politik, wang, jawatan atau kedudukan.

Dalam situasi untuk mengukuh dan mewujudkan kestabilan sesebuah kerajaan yang gagal memperoleh majoriti, lompat parti menjadi pilihan tanpa pilihan raya. Bagaimanapun tindakan itu menyakitkan hati banyak pihak. Ramai yang menyumpah dan menyampah.

Menyumpah dan menyampah kerana ada kalangan pengundi memilih parti bukannya individu tetapi akhirnya individu itu menyokong parti lain.

Pada masa sama, orang politik boleh sahaja menggunakan pelbagai alasan bagi mewajarkan tindakan mereka melanggar sumpah. Apatah lagi menggunakan alasan demi kemaslahatan ummah, mengukuhkan kerajaan atau meruntuhkan kerajaan.

Justeru apakah sumpah sebagai pilihan terbaik? Apakah kesan terhadap orang yang melanggar sumpah? Satu persoalan yang tidak pasti jawapannya.

Mungkin undang-undang berkaitan lompat parti yang lebih tegas dapat membendung perbuatan ini. Biasanya hukuman melibatkan denda atau penjara boleh ‘mengajar’ wakil rakyat berkenaan.

Hukuman seperti jawatan gugur jika melompat, membayar kos kepada parti yang ditinggalkan, tidak boleh bertanding mana-mana pilihan raya dan perlu membiayai pilihan raya kecil (PRK) mungkin boleh mengelakkan perbuatan melompat ini.

Tindakan lompat juga mungkin boleh dielakkan jika parti politik tidak mengamalkan mengutip ‘sampah’ demi kelangsungan hidup parti atau kuasa. Pemimpin yang melompat sewajarnya boleh ‘dihukum’ oleh parti asalnya.

Related posts

Leave a Comment