253 gagal patuh penjarakan fizikal

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Kegagalan mematuhi penjarakan fizikal masih banyak berlaku apabila 253 didapati melakukan kesalahan itu sepanjang semalam.

Begitu juga rentas negeri/daerah tanpa kebenaran melibatkan 177 individu, aktiviti pusat hiburan (101) tidak memakai pelitup muka (98), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (82) dan lain-lain (166).

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 877 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP sepanjang semalam dan daripada jumlah itu, 806 dikenakan kompaun manakala 71 direman.

Katanya, sebanyak 2,910 pasukan pematuhan yang melibatkan 14,071 anggota telah membuat pemantauan di 4,212 pasar raya, 5,630 restoran serta 2,385 penjaja, 1,570 kilang, 3,650 bank dan 664 pejabat kerajaan.

Op Benteng pula menangkap 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan lima tekong serta merampas lapan buah kenderaan darat.

Sebanyak 73 operasi sanitasi telah dilaksanakan meliputi 31 zon merah, enam zon jingga dan lima zon kuning di seluruh negara.

Sementara itu seramai 494 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Related posts

Leave a Comment