Tiada kluster baharu rentas negeri

PUTRAJAYA 10 Feb. – Tiada kluster baharu rentas negeri direkodkan sejak 1 Februari sehingga semalam hasil keberkesanan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) yang bermula 16 Januari lalu, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Sebelum itu katanya, dalam tempoh 16 Disember hingga 30 Januari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 31 kluster rentas negeri melibatkan sejumlah 4,376 kes positif Covid-19.

Sepanjang tempoh itu, kes jangkitan rentas negeri telah berlaku di lapan negeri iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya,  kes jangkitan itu adalah berpunca dari enam negeri asal iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Sabah.

“Ini adalah perkembangan yang sangat baik sebagai menggambarkan keberkesanan penguatkuasaan yang lebih ketat telah dilaksanakan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Dr Adham juga memberitahu daerah Bera dan Lipis di Pahang telah bertukar kepada zon hijau sejak dua hari lepas.

“Oleh itu nasihat saya kepada penduduk Lipis dan Bera adalah diharapkan mereka boleh melaksanakan Program Pengurangan Risiko Daerah (DRRP) supaya dapat mengekalkan kawasan zon hijau tersebut dan mengelak jangkitan Covid-19 baharu,”katanya.

KKM juga menjangkakan lebih kurang tujuh atau lapan daerah lagi akan menjadi hijau dalam masa terdekat.

Dr Adham berkata KKM memohon agar larangan rentas negeri dikekalkan seperti sekarang kerana keupayaan dan usaha untuk melandaikan keluk Covid-19 sangat penting untuk diteruskan.

Related posts

Leave a Comment