ISTANBUL – Serangan Israel terhadap kemudahan kesihatan, infrastruktur perubatan dan lokasi awam di Semenanjung Gaza mendapat kecaman lapan negara yang bukan sahaja disifatkan melanggar undang-undang antarabangsa tetapi menjejaskan usaha memajukan pelan damai Gaza.
Dalam kenyataan bersama, menteri luar Turkiye, Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu mengutuk pelanggaran berterusan Israel di Gaza, termasuk serangan yang mengorbankan orang awam, khususnya wanita dan kanak-kanak.
Menurut menteri-menteri berkenaan, serangan berkenaan merupakan “pelanggaran jelas” terhadap undang-undang antarabangsa dan Pelan Komprehensif bagi Menamatkan Konflik Gaza, serta menjejaskan usaha melaksanakan fasa kedua pelan berkenaan selepas Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa puak-puak Palestin menerima pelan hala tujunya.
Tegas mereka, melindungi orang awam dan kemudahan perubatan serta memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan ke seluruh Gaza merupakan kewajipan undang-undang di bawah undang-undang antarabangsa.
Kenyataan itu turut mengaitkan situasi di Gaza dengan serangan peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki, peluasan penempatan haram Israel dan langkah unilateral yang bertujuan mengubah status quo di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.
Mereka menyeru masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, memikul tanggungjawab undang-undang dan moral dengan mengambil langkah berkesan bagi memastikan Israel mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa.
