PKPD Kampung Teluk, Sitiawan

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Kerajaan hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Teluk, Setiawan, Perak bermula 11 sehingga 24 Februari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD di Kampung Teluk itu dibuat setelah Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan kes Covid-19 di kawasan tersebut.

Sehingga 9 Februari , KKM telah melaksanakan 43 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 16 kes positif direkodkan.

Beliau juga menjelaskan PKPD dilaksanakan di kawasan tersebut untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar yang melibatkan 400 orang penduduk dan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 589 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 543 dikompaun, 42 individu direman manakala empat lagi dijamin.

Daripada jumlah itu, 184 kes tiada penjarakan fizikal, 130 tidak memakai pelitup muka, 64 rentas daerah/negeri tanpa kebenaran dan 56 gagal menyediakan peralatan, merekod diri, pelanggan.

Manakala Operasi Benteng telah menangkap 55 orang Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan merampas tujuh buah kenderaan darat serta tiga buah kapal/bot.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 88 buah bot/kapal di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan.

“Op Benteng melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 535 Sekatan Jalan Raya (SJR),” katanya lagi.

Ismail Sabri turut memaklumkan seramai 438 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Related posts

Leave a Comment