SOP Tahun Baharu Cina

MIRI: Komuniti Cina digesa meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Datuk Lee Kim Shin berkata, JPBNS pada 5 Februari sudah mengemaskini beberapa SOP semasa sambutan perayaan itu.

Beliau berkata, untuk sambutan majlis makan malam ambang Tahun Baharu Cina, hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang.

“Manakala aktiviti ziarah dibenarkan pada hari pertama untuk keluarga terdekat sahaja dan tidak melebihi 20 orang.

“Pemilik rumah wajib menyediakan alat saringan suhu badan dan ahli keluarga yang datang berziarah perlu mendaftar dan memuat turun aplikasi MySejahtera bagi tujuan pengesanan kontak,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menambah, pendaftaran secara manual haruslah merangkumi maklumat seperti tarikh, masa, nama dan nombor telefon.

Katanya, ahli keluarga yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5ºc atau menunjukkan sebarang simptom tidak dbenarkan memasuki rumah dan dinasihatkan ke hospital atau klinik kesihatan yang berdekatan.

Selain itu pemilik rumah wajib menyediakan susunan tempat duduk yang mematuhi penjarakan fizikal tidak kurang dari 1 meter.

“Amalan yang melibatkan aktiviti bersentuhan seperti bersalaman adalah tidak dibenarkan. Manakala upacara sembahyang di topekong wajib mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh JPBNS dan Unit Hal Ehwal Agamaagama Lain (UNIFOR),” katanya.

Beliau menambah, persembahan tarian singa dan persembahan lain di pusat beli-belah dan hotel turut dilarang sama sekali.

(PETIKAN UTUSAN BORNEO SARAWAK)

Related posts

Leave a Comment