Kes kebolehjangkitan semula

KEMENTERIAN Kesihatan (MoH) Singapura dalam satu kenyataan telah mengesan kes pertama kemungkinan kebolehjangkitan semula Covid-19 yang melibatkan pekerja migran di sebuah asrama.

Kes itu melibatkan seorang pekerja warga Bangladesh berusia 28 tahun yang tinggal di dormitori di 42 Tech Park Crescent.

“Beliau dikenal pasti menerusi ujian pemantauan berjadual yang dijalankan sebagai sebahagian daripada pengawasan MoH ke atas imuniti pekerja yang sudah pulih daripada jangkitan,” kata kenyataan itu.

Lelaki itu pertama kali disahkan dijangkiti Covid-19 pada 12 April tahun lalu dan dikenali sebagai Kes 2513.

Walaupun kebolehjangkitan semula jarang berlaku, namun kementerian, setelah mendapat nasihat pakar, menilai bahawa bukti klinikal dan makmal “menunjukkan ia berkemungkinan kes kebolehjangkitan semula”.

Tambahan kepada hasil ujian reaksi polimerase berantai (PCR) yang positif, kementerian memaklumkan, terdapat peningkatan yang nyata dalam titer antibodi berbanding tempoh sebelum kebolehjangkitan, “menyarankan pesakit telah terdedah kepada jangkitan baharu yang meningkatkan tahap antibodinya”.

Virus yang dikesan di dalam sampel yang diambil pada Januari 2021 juga berbeza secara genetik dengan (virus) yang ada kaitan dengan wabak di asrama pada 2020, menunjukkan bahawa jangkitan ini berkemungkinan berbeza dan baharu.

Kementerian memaklumkan, pekerja berkenaan dikenal pasti daripada pemeriksaan pemantauan berjadual yang dijalankan sebagai sebahagian daripada pengawasan terhadap pekerja yang telah pulih bagi memantau pasca keimunan jangkitan mereka.

Pekerja itu yang kini ditempatkan di NCID, dilaporkan tidak sihat pada 22 dan 23 Januari namun, tidak mengalami gejala.

Setakat ini, semua kontak rapat kes berkenaan yang dikenal pasti telah diuji negatif Covid-19 dan telah diasingkan serta dikuarantin.

Sehingga Sabtu, sebanyak 32 pesakit dilaporkan sembuh dan 59,405 telah pulih sepenuhnya manakala 39 masih menjalani rawatan.

Related posts

Leave a Comment