MUIS tidak temui DNA babi

SINGAPURA 6 Feb. – Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) tidak menemui DNA babi dalam ujian ke atas produk makanan jenama Li Chuan dan mendapati “semua syarat bagi sistem pengurusan halal MUIS dipatuhi dan hanya bahan yang diluluskan digunakan dalam persiapan makanan.”

Dalam satu kenyataan semalam MUIS menjelaskan, ujian ke atas contoh produk yang terjejas dilakukan di tiga makmal berbeza, termasuk Pusat Nasional bagi Sains Makanan di bawah Agensi Makanan Singapura (SFA).

Justeru MUIS memberi jaminan bahawa produk Li Chuan di Singapura memenuhi syarat pensijilan Halal dan penjualan produk syarikat itu dibenarkan disambung semula.

MUIS sebelum ini meminta  Li Chuan menarik balik dua produk yang terjejas dari pasaran Singapura dan menggantung eksport produk tersebut sehingga siasatan selesai.

Siasatan itu dilancarkan setelah MUIS dimaklumkan oleh Kementerian Ehwal Keagamaan Brunei mengenai penemuan DNA babi dalam dua produk syarikat tersebut – Li Chuan Fish Ball (bebola ikan) dan Li Chuan Cuttlefish Ball (bebola sotong) semasa satu ujian rutin ke atas sampel produk.

Pada masa yang sama MUIS juga meminta syarikat Li Chuan menyemak semula rantaian bekalan eksportnya dan merujuk dengan pihak berkuasa yang relevan untuk memastikan bahawa produk yang dieksport memenuhi syarat-syarat tempatan, sebelum menyambung semula eksport.

MUIS juga menyatakan pihaknya akan berunding dengan pihak berkuasa Brunei untuk mendapatkan penjelasan mengenai hasil ujian mereka berhubung kes ini.

Ia juga berharap dapat menyelaraskan dengan lebih baik siasatan sedemikian pada masa hadapan, jika berlaku lagi, untuk mengurangkan kekeliruan awam.

Li Chuan Food Products Pte Ltd adalah pemegang sijil halal MUIS.

“MUIS ingin memberi jaminan kepada masyarakat bahawa kami komited sepenuhnya dalam memastikan syarat keperluan pemakanan masyarakat Muslim terus dipatuhi dan kami ingin merakamkan terima kasih kepada masyarakat atas pemahaman dan kesabaran mereka dalam membolehkan kami menyiasat isu ini.” 

Sementara itu, Li Chuan Food Products Pte Ltd dalam satu kenyataan di Facebooknya memberi jaminan bahawa pihaknya amat menghormati keperluan keagamaan masyarakat Islam.

Sehubungan itu, syarikat tersebut menekankan pihaknya mempunyai “prosedur ketat” dalam memastikan semua ramuannya dibekalkan dari vendor bersijil halal yang “terkemuka”, dan bahawa prosedur itu sentiasa dikemaskini untuk memenuhi syarat-syarat MUIS.

Dalam satu kenyataan pada 29 Januari, syarikat itu semasa menyentuh tentang isu tersebut menarik perhatian bahawa pihak berkuasa di Brunei menemui produk Li Chuan dibungkus semula oleh peruncit tempatan yang bukan pengedar rasmi syarikat tersebut.

“Menurut satu surat dikeluarkan penguasa Halal Brunei kepada pengedar-pengedar rasmi kami di Brunei, produk Cuttlefish Ball (bebola sotong) dibungkus semula oleh sebuah peruncit tempatan yang bukan pengedar rasmi kami,” kata Li Chuan.

Related posts

Leave a Comment