Misi bantuan Ebit Lew terhalang

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Pendakwah bebas, Ebit Lew terpaksa menangguhkan niatnya untuk meneruskan misi bantuan di Sabah kerana mendakwa beliau tidak dibenarkan menjelajah  ke pulau-pulau di Semporna bagi menyampaikan sumbangan.

Malahan beliau juga mendakwa, boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun jika niat berkenaan diteruskan.

Tanpa menyatakan siapa yang mengeluarkan arahan itu, Ebit yang memaklumkan perkara itu  di akaun Facebooknya hari ini memohon maaf pada penduduk di pulau-pulau di Semporna yang diIslamkannya

“Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah.Pagi ini saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke pulau-pulau di Semporna Minta diberhentikan bantuan di sekitar sini. Saya diberitahu antara hukuman boleh dikenakan didenda 100 ribu atau penjara 3 tahun.

“Saya minta maaf. Saya terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang saya rancang,”’ kata Ebit yang juga seorang usahawan yang berjaya dalam hantaran berkenaan.

Dalam hantaran itu, beliau juga memohon maaf pada tujuh orang guru yang sudah dikumpulkannya untuk membantu mendidik masyarakat yang diIslamkannya baru-baru ini.

Bahkan, tegas Ebit, kayu-kayu juga sudah dibeli untuk membina sekolah buat kanak-kanak yang memerlukan.

“Tadi ramai menangis sedih termasuk anggota yang patutnya bawa kami ke pulau-pulau. Saya terharu sifat baik dan kasih sayang orang Sabah. Macam keluarga sendiri. Sayang semua seperti mereka sayang saya. Saya sayang semua. Saya maafkan semua. Saya tidak berkecil hati perjuangan di teruskan,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Ebit berkata, beliau kini sedang menanti penerbangan untuk Tawau bagi meneruskan misi bantuannya.

“Sempurna sumbangan sedikit tempat di Tawau yang saya janji. Terima kasih semua. Sehingga berjumpa lagi jika ditakdirkan Allah. Saya serahkan segala urusan kepada Allah. Cukuplah kepada Allah orang mukmin itu berserah,” tulis beliau lagi.

Ahad lalu, Ebit berjaya membawa satu kampung berjumlah 157 orang dari suku Bajau Laut di Sabah memeluk Islam.

Misi dakwah itu dilakukannya ketika beliau ke Pulau Tatagan Semporna dalam misi bantuan kemanusiaannya ke Negeri Di Bawah Bayu.

Related posts

Leave a Comment