APABILA ABAH, PAK LONG, PAK NGAH MELAYANI ANAK-ANAK’

PAGI tadi, ketika mengunjungi sebuah kedai runcit @ pasar mini di Bandar Seri Putra, Kajang, seorang petugas kelihatan memegang rotan. Pelanggan diminta beratur, kerusi disediakan. Sebelum ini tidak nampak suasana itu. Tidak boleh masuk ikut suka sebaliknya ikut giliran berdasarkan kapasiti di dalam kedai.

Satu tindakan yang baik. Inilah kaedah peniaga menghargai kelonggaran yang diberikan dengan mereka memperkemas dan memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika menerima pelanggan. Bukannya sekadar mensyaratkan memakai pelitup muka,  menyediakan pengimbas kehadiran dan suhu badan.

Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak yang terlibat dalam ‘menggerakkan atau memberi nafas’ kepada ekonomi ketika wabak Covid-19 ini mematuhi SOP demi kelangsungan perniagaan mereka dan pada masa yang sama tidak kompromi dengan SOP. Jangan semuanya dilonggarkan, bimbang ‘terlondeh’.

Sesiapa pun yang berada di puncak kuasa akan berhadapan dilema apabila berlaku krisis kesihatan yang menjejaskan sektor ekonomi. Tiada pilihan antara kesihatan dan ekonomi kerana kedua-duanya penting.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan Mac lalu, semua pihak akur. Tidak banyak bantahan. Tetapi apabila PKP 2.0, macam-macam ‘idea’ muncul.

Kini tinggal beberapa hari sahaja PKP 2.0 ditamatkan. Mungkin hari ini atau esok, akan diketahui sama ada PKP beralih kepada PKP Bersyarat (PKPB), PKP Pemulihan (PKPP) atau PKP Diperketat (PKPD).

Ketika ini PKP 2.0 lebih kurang PKPB selepas satu persatu kelonggaran diberi setelah bermacam rayuan dikemukakan oleh pelbagai pihak. Semuanya kerana mengambil kira ‘poket rakyat’ yang semakin ‘kosong’ dan ‘perut rakyat’ yang semakin kuat ‘berkeroncong’.

PKP 2.0 tidak sama seperti PKP 1.0. PKP Mac lalu, masyarakat seperti dalam keadaan terkurung. Ketika itu Covid-19 begitu menakutkan. Mungkin ramai yang masih ingat bagaimana apabila kerajaan mahu membuka semula kedai gunting rambut, ramai yang membantah termasuk pengusaha.

Waktu itu juga tidak ada yang berani keluar rumah seolah-olah sedang berlaku darurat atau perintah berkurung. Untuk membeli makanan pun hanya seorang dibenarkan sama ada ketua keluarga atau mewakili ketua keluarga. Apatah lagi rentas daerah dan negeri.

Ketika itu semuanya seia sekata tetapi hari ini apabila diberi kelonggaran demi kelonggaran, ada pihak yang tidak begitu menghiraukan peraturan atau keputusan di peringkat persekutuan. Dalam hal tertentu ada negeri bebas melaksanakan keputusan atau pendirian mereka.

Justeru di mana kelebihan PKP bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang semakin berantai dari Perlis hingga ke Sabah? Di mana silapnya?

Adakah salah Abah, Pak Long atau Pak Ngah? Wajarkah menyalahkan 100 peratus Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob, dan Dr Noor Hisham Abdullah yang akhir-akhir ini sering melayani kerenah anak-anak yang meminta itu dan ini?

Orang tua mana yang sanggup melihat anak-anaknya memberontak meminta itu dan ini. Bak kata orang ditelan mati emak, diluah mati bapa. Umpama pakai kain singkat, gulung ke atas nampak lutut,  gulung ke bawah nampak pusat. Ketat salah, longgar pun salah.

Apa juga PKP yang akan mengambil alih selepas 4 Februari ini,  SOP perlu diperkemaskan. Gabungkan PKP, PKPB, PKPP dan PKPD. Pelbagai elemen penting dalam PKP, PKPB,PKPP dan PKPD perlu diserap dan diperkemaskan.

Biar pun pergerakan tidak lagi dikawal tetapi perlu bersyarat dan diperketat. Pematuhan SOP harus dijadikan mandatori. Perkara asas seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal amat penting. Elakkan majlis atau perjumpaan sosial.

Ketika kerajaan mengawal majlis sosial tetapi ‘majlis sosial tidak rasmi’ berlaku di pusat membeli-belah, pasar malam, taman rekreasi, restoran dan sebagainya. Itu belum ambil kira di tempat kerja yang mencetuskan banyak kluster.

Rakyat yang sepatutnya menghargai kelonggaran yang diberi leka dan lalai hal-hal berkaitan SOP. Ambil saja contoh di restoran (semasa PKPB/PKPP), di sini menjadi tempat lepak, berborak dan merokok, tempat bertemu dan berurus niaga. Minum dan makan hanya sampingan.

Jika ini berlaku sampai bila kita akan melandaikan kes penularan Covid-19 yang mencecah empat angka setiap hari ?

Apapun yang akan diguna pakai seterusnya –  PKP, PKPB, PKPP atau PKPD – yang penting ketegasan kerajaan dan kesedaran masyarakat. Jadikan situasi menang-menang iaitu kesihatan baik, ekonomi sihat. Kesedaran masyarakat yang rendah akan menjejaskan usaha menurunkan bilangan kes. Masyarakat yang sambil lewa akhirnya akan menjadikan Covid-19 dan masyarakat berpisah tiada.

Related posts

Leave a Comment